Friday, February 26, 2010

Ziarah prihatin sahabat Belia

Salam,

Baru-baru ini pihak JKKK bersama biro Belia berkesempatan meluangkan sedikit masa untuk menziarahi serta menyampaikan sedikit sumbangan kepada Sdr. Fauzan Jais (Pojan) yang baru sahaja pulang dari Hospital Ampang selepas mendapatkan rawatan akibat kemalangan jalan raya yang menimpa beliau baru-baru ini.

Walaupun kemalangan mengakibatkan kecederaan patah tulang paha, Alhamdulillah rawatan yang diberikan diharapkan dapat mengembalikan kesihatan beliau pada tahap yang terbaik semula.

Mudah-mudahan Sdr. Pojan yang juga belia kampung Batu 17 Dusun tua ini diberikan kesihatan dan kesembuhan yang cepat agar dapat menyambung tugasan harian dan ibadat dengan lebih baik. Kepada keluarga semoga tabah menerima ujian dan dugaan ini.



Apa pun, ucapan terima kasih kepada sumbangan Sdr. Pojan
yang turut tidak ketinggalan dalam majlis dan program kampung.

Sekitar Majlis Perkahwinan Sdr. Nurul Ikhwan Abdul Hamid

Salam

7hb Februari yang lalu telah berlangsung satu majlis perkahwinan salah seorang belia kampung ini iaitu Sdr. Nurul Ikhwan Abdul Hamid. Majlis yang agak meriah dihadiri jemputan dari segenap pelusuk teman dan sanak saudara keluarga pengantin selain turut dimeriahkan dengan kehadiran dari kalangan para penduduk jiran tetangga terdekat.

Apa pun, tahniah pihak JKKK ucapkan kepada Sdr. Nurul Ikhwan yang telah selamat menyahut salah satu sunnah agung Baginda Rasul SAW. Semoga bahtera perkahwinan ini dapat dikemudi sebaiknya hingga bertemu Allah kelak selain menyuburkan Baitul Muslim dan Mujtama' Al-Islam. Melahirkan sifat kasih serta mawaddah dan rahmat kepada isteri. Bersama melahirkan generasi umat Nabi Muhammad SAW, mencurahkan kasih sayang, pendidikan, belaian, perlindungan dan kawalan sebaiknya kepada anak-anak.

Kepada Sdr. Nurul Ikhwan juga, pihak JKKK melihat beliau sebagai salah seorang belia yang baik serta mempunyai sumbangannya kepada kampung yang tercinta ini. Selain bertuah lahir dalam keluarga alim ulama' anak kepada Ustaz Abdul Hamid, adinda kepada Ustaz Bakhtiar Fitri dan Ustazah Melati beliau turut memperlihatkan kemampuan dan sumbangannya untuk kebaikan kampung.

Berpengalaman menjadi Imam Surau Munawwarah, melibatkan diri dengan kegiatan riadhah dan sukan peringkat kampung sehingga mampu membantu mengharumkan nama kampung melalui kejuaraan yang dikecapi dalam pertandingan bolasepak yang disertai dan juga terlibat dengan kerja-kerja kemasyarakatan seperti kenduri dan majlis surau dan masjid.

Tahniah dan Mabruk sekali lagi kami ucapkan...

Saturday, February 13, 2010

Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan Surau

Melalui pekeliling dengan nombor rujukan (26) dlm.JAI.SEL.BPM/01/006/2, bertarikh 29 Disember 2009, pihak JAIS telah memaklumkan:
1. Tempoh berakhir jawatan pegawai dan jawatankuasa surau berakhir pada 15hb Jun 2010 ini
2. Mengarahkan para setiausaha surau untuk menjalankan kerja-kerja membanci dan mendaftarkan semua orang Islam yang bermastautin atau bermukim dalam kariah surau.
Dalam tempoh terdekat ini, pihak Surau Munawwarah juga telah mengedarkan surat pekeliling makluman info ini dan borang pendaftaran anak kariah bagi setiap rumah di kampung Batu 17.
Semua ahli kariah diminta untuk mengembalikan borang dalam tempoh 2 minggu bermula dari tarikh surat diedarkan sekitar awal Februari 2010 yang lalu.
Pihak Surau juga mendapat kebenaran lisan dari pegawai hal ehwal masjid dan surau JAIS Hulu Langat iaitu Ustaz Musa Baharuddin untuk menganjakkan tarikh atas kelewatan menerima pekeliling JAIS tersebut.
Mesyuarat khas persiapan sempena AGM ini akan diadakan oleh pihak AJK Surau Munawwarah pada 25hb Februari 2010 ini.
Sebarang makluman hubungi Setiausaha Surau 017-3144764

Sekitar penyertaan wakil JKKK dalam 'gathering' Kelab Kebajikan Staf PGB

Salam

Alhamdulillah dan terima kasih sekali lagi diucapkan kepada pihak Petronas Gas Berhad yang telah menjemput Pengerusi JKKK bagi meraikan majlis kesyukuran dan jamuan anjuran Kelab Kebajikan Staf PGB yang diadakan di kediaman Tuan Haji Ahmad Termizi yang juga merupakan pimpinan utama PGB di Taman TAR Ampang.

Program diadakan pada petang Ahad 6hb Februari 2010 yang lalu. Turut dijemput ialah Puan Norpipah dan Sdr. Raqmal Putra yang juga merupakan penerima bantuan team PGB yang pertama lalu khasnya di bawah seliaan Sdr. Rashidi dan En. Nasir Abdullah.

Namun begitu pihak JKKK diwakili Setiausaha sahaja dan turut mengambil kesempatan menyampaikan surat penghargaan dan tanda terima kasih pihak JKKK kepada PGB atas bantuan 2 warga Batu 17 yang telah menerima bantuan dari PGB.


Penyerahan surat penghargaan dan tanda terima kasih pihak JKKK Batu 17 Dusun Tua kepada peneraju utama PGB atas sumbangan mereka. Kelihatan Sdr Setiausaha mewakili Pengerusi JKKK menyerahkan surat kepada Tuan Haji Ahmad Termizi Yusuf dan En. Nasir Abdullah
Suasana majlis 'gahtering' Kelab Kebajikan Staf PGB yang turut meraikan tetamu khas mereka Puan Norpipah dan Sdr. Raqmal Putra.