Sunday, March 28, 2010

Projek Laman Dapur Batu17 Dusun Tua

Salam,

Baru-baru ini Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) telah mengambil Insiatif melancarkan projek Laman Dapur. Ia antara langkah dan ikhtiar tambahan bagi mengatasi kegawatan ekonomi yang melanda dunia saat ini.

Menurut Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim langkah yang dijalankan oleh suri rumah itu boleh membantu para suami yang akan menghadapi kesan kegawatan ekonomi. Katanya, ia juga bertepatan dengan konsep merakyatkan ekonomi dan menyahut seruan kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf pendapatan semua keluarga mempunyai pendapatan lebih RM1,500 sebulan. Projek Laman Dapur ini juga telah disahut oleh banyak pihak dan mendapat sambutan menggalakkan.

Melalui kaedah penanaman yang betul serta diikuti dengan usaha yang berterusan ia bukan sekadar mampu mengurangkan kos perbelanjaan membeli sayuran bahkan mampu menjana pendapatan tambahan sekiranya tanaman itu dapat diusahakan dalam kuantiti yang banyak.

Berbagai jenis tanaman boleh diuasahakan seperti kunyit, bendi, serai dan lai-lain. Menurut Pengerusi Pekawanis Puan Sri Salbiah Tunut, projek Laman Dapur mula dicetuskan pada bulan Julai 2008 dan telah mengambil bahagian dalam Karnival Wanita Anggun dengan mempaparkan Laman Dapur menanam herba secara kecil-kecilan di rumah.

Selaras dengan itu, pihak JKKK Batu 17 mengambil inisiatif untuk seiring dengan usaha ini selain melihat potensi di kampung ini yang kebanyakkan penduduk mempunyai ruangan yang sangat selesa untuk memanfaatkan tanah dan ruang kosong laman dapur dengan tanaman yang boleh memberikan hasil. Pihak JKKK Batu 17 juga baru-baru ini dalam mesyuarat AJKnya telah memutuskan untuk membuka peluang penyertaan kepada penduduk kampung yang berminat dengan membekalkan jenis-jenis benih tertentu secara percuma namun dalam bilangan yang terhad. Buat masa ini pihak JKKK sedang mengenalpasti jenis tanaman dan insya Allah akan diwar-warkan kemudian kepada para penduduk.
Penduduk yang berminat boleh samada menjayakan usaha ini untuk tujuan:

1. Menghijaukan laman dapur dengan tanaman bermanfaat.
2. Projek ekonomi kecil-kecilan samada secara individu atau berkelompok.
3. Hobi dan kerja sampingan mengisi masa lapang.
4. Bertani sebagai ibadat.
Selamat mencuba, apa yang penting mula dengan sedikit namun biar istiqamah (berterusan) insya Allah berjaya...

No comments: